Auntie Cina: Taukeh, ade tali kah?
Peniaga: (pergi ambil tali rafia) nah
Auntie Cina: Aiyaaa, bukan la.. saya mau itu tali jiāo (bunyi macam ‘ciaw’)
Peniaga: ……(loading)……. Ohhhh! Pisang rastali ke??? Ini macam? (tunjuk pisang rastali)
Auntie Cina: Aaaa..
Peniaga: Saya ingat auntie mau tali…hahaha!
Itulah antara pengalaman waktu mula² berniaga di pasar.
Pisang rastali ni kalau customer Cina, majoriti akan sebut pisang tali atau tali jiāo. Kalau customer India, mereka memang sebut rastali. Customer Melayu pula dinasihatkan tengok kiri kanan dulu sebelum nak mintak pisang rastali, sebab kekadang ada yg panggil pisang kelat keling (nama lain pisang rastali). Walau takde niat nak provokasi, tapi hidup dalam masyarakat majmuk, sensitiviti tu kena dijaga, takut berlaku salah sangka, kang tak pasal² helmet hinggap kat belakang kepala. Masak!
Contoh dialog di awal tadi boleh kita kelaskan sebagai Bahasa Melayu pasar. Kenapa dikaitkan dengan ‘pasar’?
Sejak dahulu kala, walau dimana ceruk dunia, pasar adalah lokasi paling mudah untuk berlakunya pertembungan manusia dari pelbagai budaya atas urusan perniagaan atau perdagangan. Di pasar, kita berjumpa & berkomunikasi dalam urusan jual beli dengan pelbagai kaum.
Di Malaysia, zaman sekarang kalau ke pasar, kita bukan hanya jumpa orang Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah Sarawak, Cina & India saja, malah ada orang Pakistan, Nepal, Bangladesh, Vietnam, Myanmar, Thailand, Indonesia, Arab, Afrika dan banyak lagi.
Maka di sinilah perlunya ada satu bahasa yang boleh difahami bersama untuk membolehkan urusan jual beli ini berjalan lancar. Kalau di Malaysia, Bahasa Melayu pasar memainkan peranannya selaku bahasa penghubung untuk aktiviti jual beli antara semua manusia tadi. Katakan ada org Jepun cuba berbahasa ibundanya seperti “Kore wa ikura desu ka?” Maka penjual akan menjawab “Wa tak jual kura²”. Urusan jual beli auto gagal.
Keluar dari pasar, kita guna pula Bahasa Melayu harian yang lebih kurang sama saja dengan bahasa pasar. Menonton berita di tv, kita dengar pula Bahasa Melayu piawai. Semua itu tetaplah Bahasa Melayu, cuma berbeza tingkatnya, kerana berlainan lawan bertutur & fungsi penggunaannya.
Bahasa Melayu pasar tidak mematuhi aturan tatabahasa, perkataan & sebutan seperti Bahasa Melayu piawai. Ia dah bercampur aduk dengan pelbagai tatabahasa daripada bahasa lain, pelbagai gaya binaan ayat, beraneka bunyi sebutan dan juga pertambahan perbendaharaan kata dari dialek & bahasa luar. Semua ciri ini wujud hasil pertembungan pelbagai bangsa semasa aktiviti jual beli di pasar.
Pendapat saya, bahasa pasar ni akan sentiasa hidup & berevolusi dari zaman ke zaman, selagi mana manusia berbeza bangsa saling berinteraksi dalam urusan ekonomi.
Cuma pernahkah korang terfikir, macam mana agaknya rupa Bahasa Melayu pasar sekitar 400-500 tahun lalu ???
Bersambung akan datang…
